Pages

Saturday, April 9, 2011

Cinta 1000KM

ATAS nama cinta, semua cabaran sanggup diharungi semata-mata mahu membuktikan kesetiaan kepada pasangan. Hingga satu tahap, andai takdir menentukan, faktor jarak bukan lagi halangan untuk teruna dan dara menyemai kasih.

Biarpun dipisahkan beribu kilometer, perasaan kasih yang mendalam seolah-olah menutupi kekurangan dan permasalahan yang timbul dalam perhubungan jarak jauh. Sabar dan sanggup berkorban mungkin sesuai menjadi kata kunci bagi pasangan yang bercinta jarak jauh.
Namun, biar situasi apa sekalipun, soal kesetiaan sentiasa menjadi perkiraan dan percaturan penting bagi pasangan bercinta jarak jauh. Tidak kira lelaki mahupun wanita, kesetiaan dalam menjalinkan perhubungan jarak jauh boleh bertukar menjadi duri dalam daging jika dinodai hingga mengikis kepercayaan dan kesetiaan yang disimpan selama ini.

Lama tidak bersua muka, mendengar suara dan sekadar melepas rindu di alam siber - apakah ini mampu dihadapi pasangan bercinta? Apakah hati mampu bertahan andai saban hari hati gundah gulana dan diburu pelbagai kemusykilan dan kegusaran mengenai si dia?

Semua faktor ini sedikit sebanyak pasti menimbulkan ketegangan dan pergeseran dalam hubungan jarak jauh. Apatah lagi, andai si dia jarang menghubungi jauh sekali mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti lazimnya. Akhirnya, hati mula dilanda cuak dan pelbagai persoalan mula menerjah minda.

Sehubungan itu, tidak mustahil soal kesetiaan menjadi persoalan hingga hati mula dikuasai fikiran negatif mengenai si dia yang berubah sikap.
Dalam memperkatakan isu hubungan jarak jauh, bagaimana jejaka menghadapinya? Apakah lelaki boleh menjadi pencinta yang setia dan komited dalam menjalin hubungan bersama si dia walaupun tidak bertentang mata?

Apakah lelaki cenderung tewas dalam permainan jiwa hingga diam-diam curang terhadap pasangan biarpun pada mulanya sekadar berseronok mengisi kesunyian?

Mengulas mengenai hubungan jarak jauh dan perilaku lelaki, Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof. Madya Dr Fadzil Che Din, berkata secara psikologi lelaki mampu mengharungi perhubungan jarak jauh dengan baik berdasarkan kesan pemikiran mereka.

Dr Fadzil berkata, umumnya seseorang lelaki dapat menguasai teknik dinamakan sebagai helah bela diri di mana ia mampu mengharungi ego lelaki dalam berdepan dengan risiko serta keadaan yang mengganggu pemikiran mereka sama ada sedih, rindu dan sunyi.

“Sebab itu, jika kita lihat, lelaki cuba mengalih perhatian mereka daripada terganggu perasaannya dengan mengisi pelbagai aktiviti seperti memancing, bermain bola sepak dan sebagainya.

“Lelaki mampu mengharungi dengan baik kerana pengaruh oleh otak kiri yang memandu pemikiran untuk menjadi lebih rasional,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.

Berbanding wanita, kata Dr Fadzil, golongan itu lebih cenderung mengekspresi diri dengan membiarkan rasa sedih, rindu dan sebagainya kesan daripada pengaruh kedua-dua belah otak. Ia secara tidak langsung menjadikan mereka lebih sensitif, beremosi dan romantik.

Mengenai kemungkinan lelaki berlaku curang, beliau berkata, secara dasarnya lelaki berdepan dengan tiga fasa dalam kehidupannya bermula daripada proses awal akil baligh sekitar usia 14 dan 15 tahun sebelum beralih kepada fasa matang seawal usia 24 tahun.

Apabila mencapai usia 40-an, lelaki akan memasuki gelombang penurunan.

“Begitu juga dengan wanita, mereka turut melalui fasa dalam putaran kehidupannya di mana bermula daripada fasa datang bulan hinggalah kepada usia ranum sekitar 21 tahun.

“Berbalik pada kemungkinan lelaki berlaku curang, ia bergantung kepada cara lelaki mengurus dirinya dalam berdepan dengan pelbagai cabaran yang berkemungkinan untuk berlaku curang.

“Apabila mencecah fasa ketiga dalam kitaran hidupan itulah menentukan sejauh mana lelaki mampu berdepan dengan risiko kecurangan,” katanya yang beranggapan tiada sebab untuk menggagalkan hubungan jarak jauh berikutan adanya kemudahan teknologi maklumat (IT) yang semakin maju.

Mengumpamakan pepatah ‘jauh di mata, dekat di hati’, Dr Fadzil berkata, komunikasi yang tiada batasan secara logiknya mendekatkan hubungan walaupun tiada bentuk hubungan fizikal yang dapat terjalin. Penting untuk menanamkan kepercayaan dalam hati untuk memastikan hubungan jarak jauh berkesan untuk satu tempoh masa yang panjang.

Dr Fadzil berkata, adalah berbaloi untuk meneruskan hubungan jarak jauh asalkan masing-masing sanggup bekerja keras dan tidak sesekali cuba membangkitkan perkara yang boleh mencetuskan provokasi hingga akhirnya boleh menggugat kepercayaan dan kebahagiaan.

“Dengan hubungan sebegini, kita sepatutnya rasa gembira kerana ia sebenarnya menguji sejauh mana kita mampu mengharungi cabaran hidup berjauhan. Malah, apabila sudah berdepan cabaran sejauh ini, tiada masalah untuk kita berdepan cabaran lebih besar.

“Cuma pastikan, sentiasa memelihara hubungan dan tidak membangkitkan beberapa persoalan hingga boleh mencetuskan pertelingkahan. Apabila bertelingkah, bimbang pula ia boleh membawa kepada konflik lebih besar sehingga boleh berpisah,” katanya.

10 perkara yang harus difikirkan sebelum menjalinkan hubungan jarak jauh:

1. Jangan terburu-buru

Memang wajar untuk menangguhkan ungkapan cinta pada si dia kerana masalah logistik dirinya memungkinkan anda sekadar membuang masa saja dalam soal perhubungan.

2. Mula sebagai kawan

Janganlah hanya sekali bertemu sudah menjanjikan cinta menggunung tinggi. Setidaknya mulakan ikatan sebagai seorang teman sebelum membuat keputusan lebih besar dengan bercinta.

3. Kerap bertemu

Harus untuk anda sering bertemu dengan si dia kerana dengan cara sedemikian barulah anda dapat mengenali ‘warna sebenar’ dirinya. Manalah tahu, selepas tiga kali bertemu akhirnya anda tidak pula rasa tertarik dengan sikapnya!

4. Uji kesabarannya

Sesekali wajar juga untuk menguji kesabaran pasangan yang baru dikenali. Lebih-lebih lagi dalam hubungan jarak jauh, memang perlu memberikan sedikit ujian dengan harapan mengetahui sejauh mana dia mampu berdepan dengan risiko hubungan sebegini.

5. Bertanyakan soal komitmennya

Tidak salah memulakan langkah ke arah komitmen. Lihat reaksinya, adakah dia juga bersedia ke arah itu. Namun, anda usah pula terburu-buru menyahut cintanya kerana masih perlu mengenali lebih lanjut.

6. Lihat tingkah-laku

Apabila sudah saling mengenali dalam tempoh beberapa ketika, anda boleh mengenali dirinya yang sebenar. Selidiki personalitinya sama ada benar-benar ‘sekepala’ dan bukan dari jenis yang mengongkong.

7. Tidak kedekut

Tidak kiralah lelaki atau perempuan, paling penting janganlah memiliki pasangan yang kedekut soal perbelanjaan. Seperti jika berhubung, janganlah asyik kita saja yang menelefon, si dia juga perlulah bertolak ansur.

8. Pandangan orang sekeliling

Jangan ambil risiko bersendirian, sebaiknya dapatkan pandangan rakan baik dan anggota keluarga mengenai hasrat untuk lebih serius dalam menjalinkan hubungan jarak jauh. Tidak mahu menyesal kemudian hari.

9. Biar berbaloi

Biar berfikir lanjut. Pastikan biar hubungan itu benar-benar berbaloi untuk diteruskan jika ingin menjalinkan hubungan secara serius termasuk soal masa depan untuk hidup bersama.

10. Berdepan risiko

Apabila menjalinkan hubungan jarak jauh, secara logiknya anda harus akur dengan risiko kegagalan dalam perhubungan. Andai sanggup mengharungi suka duka hubungan serta kemungkinan kegagalan dalam percintaan rasanya bolehlah anda menyahut cinta si dia!


* Credit to XY Berita Harian *

No comments:

Post a Comment