Pages

Friday, April 22, 2011

Cinta Itu Pada Hati

CINTA itu seolah-olah mempunyai kuasa sakti. Lahirnya kehidupan insan dikatakan segalanya atas dasar cinta. Namun, cinta itu terkadang sangat rumit untuk diramal dan memang benar apabila falsafah menyebut, cinta itu buta.

Tatkala ghairah cinta sudah menyelinap dalam sukma, para pencinta sanggup berkorban jiwa dan raga. Jika dirayu untuk melastik bintang sekali pun, ia akan diredah tanpa keluh kesah. Betapa hebatnya kuasa cinta sehinggakan perbezaan darjat waima keturunan, protokol atau harta pun bukan penghalang untuk mendirikan istana bahagia.

Lihat saja riwayat cinta yang diulit antara pasangan yang berbeza martabat, antara putera raja dan wanita biasa. Ada yang kecundang di pertengahan jalan. Namun, tidak kurang pula legenda cinta mereka diingati berzaman lamanya.

Cinta antara dua darjat yang bertunas antara Raja Abdullah II dengan Rania Al Abdullah merupakan antara cinta teragung untuk diteladani. Rania sendiri barangkali tidak menyangka kehadirannya di sebuah majlis keraian pada tahun 1993 telah mengubah rentak hidupnya.

Hanya membalas senyuman seorang lelaki yang asyik memerhatikan gelagatnya yang canggung di celah-celah para aristokrat lain, telah menjadikannya seorang permaisuri di sebuah negara di Jordan.

Raja Abdullah telah menyunting Rania menjadi suri hidupnya hanya selepas 10 bulan mengenali hati budi masing-masing.

“Hidup ini penuh keajaiban dan bunga-bunga cinta telah menjadikan hidup saya semakin bermakna,” kata Rania yang kini berusia 41 tahun.

Permaisuri yang dikategorikan antara yang paling intelektual di dunia itu sangat disayangi rakyat jelatanya. Baginda juga sudah pun melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang permaisuri dengan melahirkan empat pewaris.

Daripada seorang pegawai pemasaran untuk syarikat perbankan Citibank dan Apple Inc, Rania mewakili angan-angan dan fantasi kebanyakan gadis yang sentiasa mengimpikan untuk dilamar oleh seorang putera raja.

Pesona wartawan janda

Cerita Rania berlainan dengan kisah cinta seorang wartawan penyiaran yang terkenal di Sepanyol. Letizia Ortiz Rocasolano, 39, menjangkakan hidupnya akan merana apabila bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang guru. Sangkaannya itu ternyata meleset.

Kemunculan Letizia yang membaca berita ekonomi bagi Spanish TV, telah menambat hati Putera Felipe yang merupakan pewaris takhta Austurians.

Apabila cinta sudah bertaut, Felipe sanggup melakukan apa saja termasuk menghubungi pemilik stesen berkenaan untuk mengatur pertemuan dengan wartawan itu. Letizia tergamam ketika bertentang mata dengan seorang putera kesayangan Sepanyol dalam satu majlis makan malam khas yang diaturkan untuknya.


RAJA HUSSEIN dari Jordan yang mengahwini rakyat biasa, Elizabeth Najeeb Halaby atau Puteri Noor.


Walau tampil bersahaja, pesona janda tersebut telah mencairkan hati putera berkenaan. Status wartawan penyiaran mewujudkan kebimbangan kepada institusi beraja di sana tetapi, bukan di hati Putera Felipe.

Ternyata, pengumuman pertunangan pasangan itu pada tahun 2003 mengejutkan dunia. Letizia dilaporkan diselubungi dengan pelbagai kontroversi.

Namun, Putera Felipe tidak mempedulikan segala tohmahan. Tanggal 22 Mei 2004, Letizia mengucapkan selamat tinggal kepada kariernya. Mereka disatukan dalam sebuah majlis gilang gemilang di Madrid. Kini, mereka dikurniakan dua puteri.

Terpaut dengan atlet

Bagi rakyat Monaco, adalah menjadi satu kehampaan apabila putera mereka, Putera Albert memilih rakyat biasa menjadi bakal permaisuri. Barangkali takdir sudah tertulis, Putera Albert tidak berupaya mencurahkan kasih dan sayangnya pada gadis yang sedarah dengannya.

Kelibat Charlene Wittstock yang merupakan perenang kelahiran Bulawayo, Zimbabwe, dalam keadaan tidak terurus dalam satu majlis sosial telah menawan hati Putera Albert.

“Saya memang buta tentang fesyen, saya masih ingat lagi, saya telah meminjam gaun berwarna hijau daripada seorang rakan. Kemudian saya warnakan kuku saya dengan warna merah, saya seperti pokok krismas ketika bertemu dengan seorang putera idaman ramai,” tutur Charlene, 33, ketika ditemu bual oleh wartawan.

Kemunculan sebegitu dipandang sebelah mata oleh sebilangan hadirin. Namun, pada mata Putera Albert, Charlene sungguh menawan.

Sungguh tidak disangka, kenyataan yang terpacul daripada mulut jaguh sukan renang itu tadi tidak semena-mena membuatkan rakyat Monaco jatuh cinta pada kerendahan hatinya.

Menyamar sebagai orang biasa

“Hidup saya bukan satu kisah dongeng, hidup saya sangat nyata.” Demikian kata Puteri Mary yang merupakan Puteri Mahkota Denmark yang menjadi inspirasi gadis-gadis yang cintakan fesyen.

Puteri Mary atau nama asalnya Mary Elizabeth Donaldson, 39, telah melalui momen-momen indah ketika berkenalan dengan Putera Frederik.

Seawal perkenalan mereka di sebuah bar di Sydney, pewaris empayar Denmark menyamar sebagai orang biasa. Putera itu hanya memperkenalkan dirinya sebagai Fred sahaja.

Putera Frederik dikatakan cuba menguji kesetiaan pegawai pemasaran itu. Sememangnya, cinta wanita kelahiran Scotland dan kemudian bermigrasi di Australia itu memang tegar.

Meskipun Mary seorang gadis biasa, sikapnya yang penuh santun sangat disenangi. Kesungguhannya mempelajari bahasa Denmark mengharukan rakyat negara itu. Mary yang dilabelkan sebagai individu yang berpengaruh dalam dunia fesyen dan sering dikaitkan dengan Puteri Diana Spencer kini sudah melahirkan dua puteri dan dua putera.

Cinta yang tewas

Sebelum Perang Dunia Pertama, cinta seorang putera perlu dicurahkan kepada seorang puteri saja. Namun, sejurus selepas era itu, putera-putera raja terus meroboh tembok peraturan itu.


GRACE KELLY meninggalkan gemerlap bintangnya di Hollywood untuk menjadi permaisuri Putera Rainer III di Monaco.


Ada yang bahagia, tidak kurang juga yang menderita. Paling teruk, ia terpalit dengan kematian.

Sophie Chotek misalnya, adalah legenda cinta malang zaman dulu kala. Wanita itu dikatakan tidak cukup baik kepada Archduke Franz Ferdinand, putera dari Austria-Hungary.

Walaupun telah melahirkan tiga cahaya mata, Sophie dilayan dengan begitu buruk. Walaupun menyandang gelaran Duchess of Hohenburg, beliau dihalang menjalani kehidupan seperti penghuni istana.

Pada alaf baru ini pula, laluan percintaan Puteri Diana dikatakan yang paling getir. Meskipun beliau dalam kalangan anak bangsawan, Diana dikatakan tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan diraja. Beliau melalui detik sukar apabila suaminya, Putera Charles dikhabarkan mempunyai hubungan sulit dengan Camilla Parker Bowles.

Kehancuran jiwa Diana sudah tidak dapat dibendung dan akhirnya pasangan itu bercerai pada Ogos 1996. Setahun kemudian, wanita yang dilabelkan antara wanita teranggun di dunia itu mati dalam nahas kemalangan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan keluarga Charles.

Pada 29 April ini, anak sulung kesayangan Diana, Putera Williams mengulangi sejarah yang pernah diciptakan ibu bapanya. Williams memilih melangsungkan perkahwinan bukan dengan wanita berdarah kerabat. Beliau akan bersatu hati dengan anak seorang usahawan, Kate Middleton. Tidak seperti mendiang ibunya, Kate disayangi pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.

Namun, ramalan astrologi terhadap kehidupan selepas perkahwinan mempelai itu agak menakutkan. Antaranya ialah Kate dikatakan sukar mendapatkan anak. Putera William pula dijangka akan mengalami satu kemalangan ngeri. Ramalan yang paling kritikal adalah pasangan itu akan bercerai semasa berumur 40-an. Persoalannya adakah ia akan benar-benar berlaku?

Namun, ramai menganggap kuasa cinta antara Kate dan William dapat mengatasi segala-galanya.


~ Cinta itu tidak kenal pangkat, harta, dan keturunan. Cinta itu terletak pada HATI. ~

~ Paling mengkagumkan saya, kisah cinta Raja Hussein dan anaknya Raja Abdullah yang jatuh cinta pada gadis biasa, namun tetap bahagia hingga akhirnya :) . ~

~ I'll take it as a motivation for me :) . ~


* Kredit to KOSMO! *

No comments:

Post a Comment